Wednesday, 4 December 2013

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa Terima Anugerah Pingat Emas Canselor


UUM ONLINE: Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa (Kepujian), Farid Aswad Ismail, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Canselor sempena Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-26, baru-baru ini.

Farid Aswad berkata, walaupun pernah menghadapi kegagalan sebelum ini, ia sedikit pun tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berusaha meraih kejayaan.

“Saya pernah gagal sebelum ini, kegagalan yang saya lalui bukan titik noktah bagi saya. Saya percaya usaha yang berterusan akan membawa kepada kejayaan,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau menegaskan aspek pengurusan masa yang baik harus diutamakan oleh pelajar untuk meningkatkan keberkesanan belajar, selain suka berkongsi ilmu.

“Jangan kedekut ilmu dan urus masa dengan baik agar kita dapat kekal fokus tanpa meninggalkan aktiviti lain.

Selain itu, beliau menyifatkan bahawa kejayaan yang dikecapi itu merupakan rezeki kurniaan tuhan yang sangat besar pada dirinya.

“Saya bersyukur kerana penat lelah saya selama ini membuahkan hasil. Mungkin juga ini adalah rezeki buat anak sulung saya yang baru dilahirkan,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, bekas personaliti televisyen, Yusanani Yushak yang menerima Anugerah Pelajaran DiRaja, berkata pengiktirafan tersebut amat bermakna kerana ia bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan usaha yang bukan sedikit.

Berpengalaman luas dalam bidang penyiaran dan kewartawanan, beliau memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) bersama-sama dengan 12 rakan selebriti lain.

Kebijaksanaannya mengadunkan teori di bilik kuliah dan pengalaman kerja dalam bidang penyiaran selama 11 tahun, membolehkan beliau tampil sebagai pelajar cemerlang dengan mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) tertinggi 3.97, selain turut dianugerahkan Sijil Pencapaian Akademik Terbaik oleh UUM.

“Saya bersyukur atas pengiktirafan yang diberikan. Saya sangat-sangat tidak sangka akan menerima anugerah ini. Bukan mudah untuk saya mengekalkan prestasi dengan mendapat Anugerah Dekan setiap semester kerana sering sibuk dengan tugasan lain.

Tapi saya tetap sahut cabaran ini sebab menuntut ilmu ini tiada titik noktahnya. Kini, saya sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Komunikasi Kepengurusan di UUM Kuala Lumpur,” katanya.

Bagi seorang lagi penerima Anugerah Pelajar DiRaja, Wee Him Shion yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Kepujian), berkata penganugerahan yang diberikan UUM kepada dirinya merupakan saat yang paling indah dan akan menjadi memori yang paling berharga.

“Saya bangga kerana usaha yang tidak putus-putus ini berbaloi hingga mendapat Anugerah Pelajaran DiRaja. Inilah hadiah terbaik yang dapat saya berikan kepada ibu-bapa dan keluarga.

Terima kasih yang tak terhingga buat pensyarah dan rakan-rakan yang telah banyak membantu saya sepanjang pengajian,” katanya.

Kesemua anugerah tersebut disampaikan oleh Canselor UUM, Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah
 

No comments:

Post a Comment